Menangani Kes Murid Tanpa Dokumen




Menangani kes murid tanpa dokumen
Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my
Mazlan Mohamad
Setiap kali bermulanya pembukaan sesi persekolahan baharu setiap tahun, Kementerian Pelajaran pasti berdepan senario pendaftaran murid tanpa dokumen sama ada di kalangan ibu bapa warga tempatan mahupun rakyat asing yang bermastautin di negara ini.
Namun begitu, menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad, halangan itu tidak pernah dipandang ringan dan sentiasa diperbaiki pihaknya bagi memastikan kanak-kanak dan remaja di negara ini mendapat pendidikan sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang keluarga.
Beliau memberitahu, terdapat banyak kategori berkaitan masalah pendaftaran murid atau pelajar dari peringkat prasekolah hingga tingkatan enam seperti ibu bapa warga tempatan yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan kelahiran anak.
"Kes seperti ini berlaku disebabkan banyak faktor antaranya termasuklah ibu bapa bernikah di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut, yang menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat mengeluarkan sijil kelahiran anak.
"Namun, murid berkenaan masih boleh memasuki sekolah dengan syarat ibu bapa mengisi dua borang yang disediakan Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri di samping perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung di kediaman masing-masing,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.
Menurutnya, kesulitan pendaftaran masuk murid yang tidak mempunyai dokumen diri berlaku apabila ibu bapa membuat tafsiran tiada halangan mendaftarkan anak mereka ke sekolah walaupun tidak mempunyai sijil kelahiran.
"Ramai yang masih persoalkan pihak sekolah tentang perkara ini yang mana kenapa anak tidak boleh masuk sekolah walaupun ibu bapanya rakyat tempatan tetapi kita mahukan kepastian tentang status anak, mungkin anak angkat sebab itu perlu ada pengesahan ketua kampung,'' katanya.
Senario tersebut, katanya, walaupun hanya melibatkan segelintir kecil ibu bapa namun kementerian tetap memandang serius perkembangan itu kerana membuktikan masih wujud kekeliruan berhubung garis panduan tersebut.
Katanya, kesulitan juga berlaku apabila ibu bapa tidak mempunyai dokumen diri dan senario tersebut sering berlaku di kalangan masyarakat Orang Asli dan pedalaman namun melalui proses pendaftaran JPN, persekolahan murid tetap diteruskan.
Senario lain yang turut berlaku adalah di kalangan ibu bapa rakyat asing yang bekerja secara sementara dengan agensi kerajaan atau badan berkanun.
Kelompok ini dikehendaki membayar yuran pendaftaran RM120 setahun per murid untuk sekolah rendah manakala RM240 setahun per murid pula bagi sekolah menengah dan tanpa sebarang kemudahan pendidikan seperti bantuan buku teks, bantuan makanan atau wang khas RM100.
"Selain boleh ke sekolah antarabangsa, kita juga menyediakan pusat pembelajaran setempat misalnya untuk pekerja ladang Indonesia di Sabah dan kita pastikan pembelajaran mempunyai konsep 3M (Membaca, Menulis dan Mengira),'' katanya.
Sementara itu, kata beliau, ibu bapa warga asing yang mahu mendaftarkan anak mereka perlu membayar yuran persekolahan sama ada RM120 atau RM240 beserta pas belajar.
Menurut Mazlan, kesulitan seperti itu boleh diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mendaftarkan anak mereka memasuki sekolah.
"Paling utama, kerajaan sentiasa menitik beratkan kepentingan pendidikan untuk semua, tidak kira latar belakang keluarga murid terlibat, apa yang penting, dia tetap mendapat pendidikan sewajarnya namun bagi warga negara asing, mereka harus mematuhi peraturan yang ditetapkan,'' tegasnya.
Setakat Julai tahun lalu, terdapat kira-kira 2,261 murid bukan warga negara bersekolah rendah di negara ini termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dengan bilangan paling ramai dikenal pasti di Sarawak iaitu seramai 830 orang.

Hilang pendengaran sebelum tua



Hilang pendengaran sebelum tua
Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM 
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto SAFRIZAL AZMI
Foto muka depan MOHD FARIZWAN HASBULLAH
SEDARKAH anda, kala bersembang dengan rakan di restoran, masing-masing seperti menjerit kerana tidak mendengar atau menangkap butir perbualan. Suasana ini dilihat biasa berlaku dan ada yang merasakan ia normal dek kerana bunyi bising di sekeliling sedangkan ia menambah tahap desibel yang didengari ke tahap memberi kesan kepada pendengaran.
Bagi tahap bunyi perbualan biasa ialah sebanyak 70 desibel, suara yang dinaikkan ialah 76 hingga 82 desibel manakala jeritan sebanyak 88 desibel. Belum masuk lagi bunyi televisyen yang dipasang sentiasa, jumlah keseluruhan di dalam restoran ketika waktu makan tengah hari sudah melebihi tahap selamat kepada telinga.
Kajian mnunjukkan tahap pendedahan pendengaran yang selamat ialah sebanyak 85 desibel sahaja untuk tempoh lapan jam dalam sehari.
Malah, tahukah anda bila masing-masing sukar mendengar perbualan, ia juga mungkin tanda-tanda awal masalah pendengaran yang boleh menjadi kecacatan deria kekal, iaitu pekak.
Gaya hidup kita terutamanya di bandar yang sering terdedah kepada bunyi bising tidak kira di tempat kerja seperti di kilang mahupun di luar iaitu bunyi motor berkuasa tinggi, pusat hiburan dan mendengar muzik dengan kuat boleh menyebabkan kecacatan deria telinga.
Jika dahulu, kebanyakan orang pekak kerana kecacatan dari kecil dan warga emas yang kualiti pendengarannya semakin berkurangan akibat proses penuaan. Kini orang muda juga mengalami masalah tersebut.
Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Samril Bokari berkata, masalah hilang pendengaran begitu digelar hilang pendengaran akibat kebisingan (noise-induced hearing loss - NIHL) dan semakin ramai orang muda berdepan dengan masalah tersebut.
NIHL berlaku apabila struktur sensitif di dalam telinga iaitu sel rambut, sel deria kecil yang menukar bunyi kepada signal ke otak rosak akibat pendedahan bunyi bising yang lama dan jika ia rosak, sel rambut itu tidak dapat tumbuh kembali.
“Mereka yang terdedah dengan bunyi bising dalam tempoh yang lama akan berdepan dengan masalah NIHL.
“Contoh yang paling biasa dilihat ialah penggunaan fon kepala dengan bunyi kuat secara berterusan terutamanya ketika bekerja menggunakan komputer di pejabat.
“Selain itu, pekerja kilang dan di lapangan terbang yang tidak menggunakan alat pelindungan telinga juga berisiko mengalami hilang pendengaran.
“Bunyi yang kuat itu akan merosakkan saraf di bahagian telinga dan jika tidak mengambil apa-apa tindakan, ia akan makin teruk lalu alat bantuan pendengaran perlu digunakan," ujarnya.
Simptom
Terang Dr. Samril, sesiapa sahaja tidak kira usia dan jantina termasuk kanak-kanak dan remaja boleh berdepan dengan masalah hilang pendengaran akibat kebisingan berterusan.
Simptom utama ialah kualiti pendengaran semakin berkurangan. Bunyi yang didengari semakin lama semakin terganggu, tidak jelas atau meredam membuatkan pesakit susah memahami percakapan seseorang.
Sesetengah daripada mereka yang menghidapi NIHL mungkin tidak perasan pun mereka semakin hilang pendengaran dan ia dapat dikesan melalui ujian pendengaran.
“Selain itu, mereka juga sering mendengar bunyi berdengung di telinga (tinnitus), bunyi yang bukan berasal dari luar telinga.
“Malah, ada sesetengah frekuensi membuatkan mereka berasa tidak selesa," ujarnya.
Punca
Pelbagai aktiviti harian yang dianggap tidak merbahaya kepada kesihatan tetapi sebenarnya memberikan kesan kepada deria yang penting.
Antaranya ialah mendengar muzik menerusi fon telinga secara kuat, menghadiri konsert rock, memesin rumput, menggunakan gergaji elektrik dan memandu kereta di lebuh raya sambil membuka tingkap kereta.
Kesemua aktiviti tersebut berisiko tinggi menyebabkan NIHL bergantung kepada tahap desibel dan berapa lama bunyi yang didengari .
Apa saja bunyi yang melebihi 85 desibel boleh merosakkan telinga dan mendengar lagu menerusi fon telinga boleh melebihi 100 desibel.
Namun, jangan fokus kepada satu kesalahan pendengaran sahaja. Contohnya, dalam sehari, pada siangnya anda mungkin mendengar fon kepala sepanjang waktu bekerja dan apabila pulang ke rumah, anda menonton bola di televisyen dengan menguatkan bunyinya.
Apabila dicampur-campur semua aktiviti seharian, pendedahan terhadap bunyi bising akan melebihi tahap yang sepatutnya lalu lama-kelamaan pendengaran semakin berkurangan lalu hilang.
Rawatan dan pencegahan
Pencegahan merupakan satu-satunya cara memberi perlindungan kepada telinga kita daripada NIHL kerana kita tidak tahu tahap sensitif telinga kita sehingga ia benar-benar rosak.
Perlahankan muzik yang didengari dan sama ada di tempat kerja, rumah mahupun kereta.
Kurangkan pendedahan terhadap aktiviti-aktiviti yang bising. Rehatkan telinga anda sementara bagi memulihkan ia.
Setiap tempat kerja yang berdepan dengan bunyi yang kuat seperti kilang selalunya mempunyai langkah keselamatan dengan menyediakan alat perlindungan telinga.
Patuhi langkah-langkah tersebut kerana bunyi yang kuat dan berterusan amat memudaratkan kepada telinga dan jika ia tidak disediakan, dapatkan alat perlindungan telinga di kedai.
Jika anda terdedah kepada bunyi kuat yang melampau seperti tembakan, mercun atau pertunjukan bunga api, rehat di tempat yang sunyi selama 24 jam. Jika pendengaran tidak pulih dan berdengung selepas tempoh tersebut, bertemu dengan doktor.
Ujar Dr. Samril, selepas pemeriksaan ‘pure tone audiogram’ yang dijalankan pakar audiologi, doktor akan menentukan tahap pendengaran dan jika ia tidak boleh dirawat, pesakit perlu menggunakan alat bantuan pendengaran.
Jika sekadar mendengar bunyi berdengung berterusan, pesakit akan diberi masker tinnitus atau ‘tinni tool’ bagi menghilangkan bunyi tersebut.

Menangani Kes Murid Tanpa Dokumen

Menangani kes murid tanpa dokumen Oleh NORIZAN ABDUL MUHID pendidikan@utusan.com.my Mazlan Mohamad Setiap kali bermulanya p...